KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa hanya bermain wayang apabila cuba membuktikan hubungannya dengan Johor baik khususnya bersama-sama Menteri Besar negeri itu Dr Shahruddin Jamal.

Kata Naib Presiden II Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) Mohd Rashidi Ismail gambar yang dimuatnaik menteri itu di Instagramnya tidak akan menggambarkan keadaan sebenar hubungan kerajaan persekutuan dengan negeri itu.

Malah, menurutnya rakyat negeri itu seolah-olah dianaktirikan dengan peruntukan yang tidak setimpal meskipun Johor antara tertinggi menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

Syed Saddiq selaku anak jati Johor yang berpeluk tubuh dengan situasi ini turut disifatkan Mohd Rashidi bertindak mensabotaj rakyat negeri itu.

Naib Presiden II Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) Mohd Rashidi Ismail

“YB Syed Saddiq yang diharapkan menjadi jambatan kepada hubungan Johor dan persekutuan telah mensabotaj ekonomi rakyat Johor dengan kenyataan-kenyataan politik yang menimbulkan banyak prasangka antara negeri dan persekutuan.

“MBNJ berpendapat jika YB Syed Saddiq benar-benar ikhlas, beliau mestilah membantu Johor dengan mendapatkan insentif dan manfaat yang setimpal buat rakyat negeri ini. Fakta menunjukkan negeri Johor adalah antara negeri tertinggi yang menyumbang kepada persekutuan iaitu sebanyak lebih RM 40 billion setahun, tetapi hanya menerima kembali sekitar RM2 billion setahun untuk manfaat dan kegunaan rakyat negeri ini.

“Bayangkan betapa rakyat negeri ini dianaktirikan oleh persekutuan tetapi Saddiq dengan selamba cuba bermain wayang,” katanya menerusi kenyataan.

Syed Saddiq dalam gambar yang dimutnaiknya semalam meletakkan kapsyen “Hubungan Johor dan kerajaan persekutuan boleh diperumpamakan bagai cubit peha kiri terasa peha kanan. Bersama YAB Perdana Menteri & YAB Menteri Besar Johor. Sebagai anak muda, ada banyak yang boleh kami pelajari”

Sehubungan itu Mohd Rashidi berkata rakyat Johor tidak akan tertipu dengan apa yang cuba disampaikan Syed Saddiq menerusi sekeping gambar yang dimuatnaik di media sosial semalam.

“Persoalannya, adakah dengan posting gambar bersama MB Johor dan PM sudah cukup menggula-gulakan rakyat negeri ini kononnya beliau bekerja untuk Johor?

“Kepada YB Syed Saddiq, MBNJ suka berpesan hentikanlah lakonan dan kepura-puraan ini. Hentikan berpura-pura mahu membantu negeri Johor tetapi hakikatnya YB Syed Saqqiq hanya mahu berpolitik dan bermain wayang sahaja,” katanya lagi. -MalaysiaGazette