Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama petugas simulator helikopter Airbus Malaysia AS365, David Tan (dua kiri) sewaktu mengemudi simulator helikopter pada Majlis Perasmian Pusat Penyiapan dan Penyerahan Helikopter Airbus di Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2019.

SUBANG JAYA – DAP menyerahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan berhubung seni khat di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang kini menjadi kontroveri.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu mempunyai pendirian terhadap perkara tersebut, namun kini hanya menunggu ia dibawa Kabinet untuk diputuskan.

“Semalam (malam tadi) kita adakan pertemuan (dengan pemimpin DAP dan ketua masyarakat) bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada semua yang hadir dari seluruh negara.

“Mereka menyatakan kerisauan terhadap perkara yang menjadi isu dan kita adakan perbincangan mengenainya dan kita cuba cari jalan penyelesaian bersama mengikut posisi masyarakat.

“Kita akan dapatkan maklum balas dari Kabinet. DAP mempunyai pendirian terhadap perkara itu dan kita hanya akan membawakan kepada Kabinet untuk buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Penyiapan Serantau Helikopter Airbus dan Pusat Penghantaran (CDC) di sini hari ini.

Ketika ditanya cadangan Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon semalam supaya  DAP memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar menarik balik cadangan tersebut, Anthony berkata, parti itu tidak akan mendengar sebarang cadangan yang dikemukakan oleh MCA.

Siew Fook menegaskan, DAP hanya akan mendengar apa yang diperkatakan oleh masyarakat tanpa melibatkan parti luar seperti MCA.

“Kita dengar apa yang masyarakat kata. Kita beri perkhidmatan kepada mereka dan bukan kepada MCA,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast