Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyokong penuh usaha kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun hadapan.

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu disifatkan mampu memartabatkan tulisan jawi dan seni khat yang diguna pakai oleh generasi dahulu termasuk dalam urusan-urusan rasmi kerajaan.

Jelas beliau, pihak yang merasa resah terhadap langkah Kementerian Pendidikan itu diseru supaya melihat isu tersebut daripada aspek pendidikan dan warisan sejarah.

“Ini kerana tulisan tersebut sebelum ini telah lama berada dalam jalur budaya masyarakat berbilang kaum negara ini tanpa wujud sebarang masalah, malah sama-sama digunakan dalam persuratan rasmi dan bukan rasmi.

“Yadim berharap agar Kementerian Pendidikan akan bertegas dalam isu ini serta tidak tunduk kepada desakan-desakan pihak yang menentang langkah ini demi memelihara warisan negara.

“Dengan langkah ini, Yadim yakin ia akan meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan kawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari Al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Omar berkata, dengan memartabatkan tulisan kawi dan seni khat, kekayaan seni budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai dengan penggunaan tulisan berbeza mengikut kaum semakin jelas diraikan.

Katanya, sebagai sebuah negara berbilang kaum, proses silang budaya perlu terus disemarakkan kepada setiap anggota masyarakat dalam mempelajari dan menghormati budaya kaum lain termasuklah bahasa dan tulisan.

“Justeru, masyarakat Melayu juga disaran untuk mempelajari bahasa dan tulisan kaum lain, selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menuntut ilmu,” ujarnya. – MalaysiaGazette