KUALA LUMPUR – Pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil adalah zalim dan tidak adil.
Exco Pergerakan Pemudan UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pekebun kecil merupakan penduduk luar bandar yang sepatutnya dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.
Namun katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin meminggirkan kebajikan golongan pekebun kecil apatah lagi dengan harga sawit sebagai komoditi utama Malaysia semakin hari semakin susut dan tiada usaha kerajaan untuk menstabilkannya semula.
“Pekebun kecil kini terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan untuk menanam semula melalui Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).
“Kini bantuan tanaman semula pula dihapuskan. Nasib rakyat khasnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar semakin hari semakin tidak terbela di bawah pemerintahan kerajaan PH ini.
“Pemuda UMNO mendesak supaya kerajaan mengembalikan semula bantuan tanaman semula ini supaya nasib pekebun kecil dapat dibela,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu berkata, industri sawit telah dikenal pasti sebagai salah satu Bidang Utama Ekonomi Baru (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan negara menjelang tahun 2020.
Jelas beliau, ketika era kerajaan Barisan Nasional, pada tahun 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM140 juta untuk pembangunan dan penanaman semua kelapa sawit dan RM200 juta untuk getah.
“Malah sektor pertanian adalah sumber ketiga pertumbuhan untuk ekonomi dan dibawah dasar kerajaan Barisan Nasional, industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020,” katanya. – MalaysiaGazette