Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tuntutan penyakit kritikal oleh seorang pemandu lori yang mengidap kanser tahap empat ditolak oleh Skim MySalam kerana dia tidak menghantar salinan perubatan daripada doktor hospital kerajaan.

Bagaimanapun Great Eastern Takaful Berhad (GETB) bersedia untuk membantu proses rayuan beliau untuk mendapat faedah penyakit kritikal sebanyak RM8,000.

Kes itu tular selepas Dr. Jeyakumar Devaraj dari Parti Sosialis Malaysia menulis terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan tentang nasib yang menimpa pemandu lori berkenaan.

Pemandu lori berkenaan merupakan sumber utama keluarganya telah mengalami masalah kewangan sejak dia didiagnos mengalami kanser sejak dua bulan lalu.

Dia yang juga penerima Bantuan Sara Hidup telah mengemukakan permohonan tuntutan kepada Skim mySalam tetapi ditolak.

Kementerian Kewangan berkata, Skim mySalam tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana syarikat insurans swasta kerana semua premium yang dibayar kerajaan.

Jika ia tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat, akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam.

Malah, katanya, tiada unsur keuntungan bagi Great Eastern Holdings mahupun Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melalui skim mySalam.

Oleh itu, tiada insentif untuk GETB sebagai pengurus takaful mySalam untuk tidak mengeluarkan bayaran bagi mana-mana tuntutan yang layak.

“Proses tuntutan untuk mySalam mudah dan jelas. Seorang pesakit yang telah disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal di hospital kerajaan, universiti atau tentera di Malaysia boleh menghantarkan laporan perubatan kepada mySalam untuk layak mendapatkan manfaat wang sebanyak RM8,000.

Maklumat berkenaan mySalam termasuk syarat-syarat kelayakan boleh dicapai dengan mudah secara atas talian di https://www.mysalam.com.my/.

Selain itu, mySalam bersama organisasi-organisasi berkaitan juga sedang mengadakan program publisiti dan media, jerayawara dan sesi kesedaran secara meluas, serta reruai-reruai pop-up di hospital-hospital kerajaan utama untuk meningkatkan jumlah penerima manfaat daripada dana ini. – MalaysiaGazette