Gambar hiasan

SEPANG – ” Bila imbas pasport keluar di skrin muka orang lain,” kata Sabariah Osman, salah seorang 26 jemaah rakyat Malaysia yang terkandas di Jeddah sejak Isnin lalu kerana memiliki visa Furada haji palsu.

Ditemui media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabariah, 60an berkata, beliau merasa terkilan tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima kerana memiliki visa palsu.

Kesemua 26 jemaah haji yang terkandas itu telah selamat tiba di KLIA pada hari ini.

” Saya membayar pakej ini dengan harga RM33,000 namun masih tidak dapat menunaikan haji pada kali ini, tetapi saya anggap semua ini ketentuan dari Allah,” katanya.

Menceritakan situasi di sana, Sabariah yang berasal dari Pulau Pinang berkata apabila tiba di kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, pegawai imigresen itu berkata visa beliau memaparkan wajah yang berbeza.

“Pegawai itu turut bertanya tarikh lahir saya memandangkan ia tidak sama dengan maklumat yang dipaparkan pada visa yang saya miliki itu,” katanya.

“Bila tanya jemaah lain juga kata ada muka bertukar jadi milik orang Indonesia, Nigeria dan warga negara lain,” katanya.

Sabariah berkata, beliau merasakan Syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours tidak melakukan penipuan susulan kejadian yang menimpa beliau dan jemaah yang lain.

“Saya tidak salahkan pihak syarikat tapi rasakan perkara ini berlaku kerana silap di pihak sana (Arab Saudi),” katanya.

Pada masa yang sama, Sabariah turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas layanan pihak kedutaan Malaysia di sana dan Tabung Haji.

Dalam pada itu, pihak media difahamkan selain 26 yang terkandas di Jeddah, 36 orang lagi jemaah di bawah pengurusan syarikat yang sama tidak mendapat tiket penerbangan dan visa haji dan telah terkandas di KLIA.

Salah seorang yang terkandas di KLIA, Siti Esah Hussain, 65, berkata, pihaknya hanya mendapat tahu bahawa beliau tidak mendapat visa dan tiket penerbangan pada Isnin lepas.

“Saya telah berada di KLIA sejak Isnin kerana diberitahu pihak syarikat tentang tawaran haji di saat akhir dibawah kuota Raja Salman untuk seramai 20 orang dengan syarat perlu membayar tambahan caj sebanyak RM7,000,” katanya.

“Sejurus mendengar tawaran itu pada Sabtu lalu, saya terus membayar kepada syarikat tersebut tanpa berfikir panjang kerana hati saya memang ingin sangat melakukan haji pada tahun ini,” katanya.

Difahamkan jemaah haji dibawah syarikat tersebut telah membayar sekitar RM30,000 hingga RM50,000 untuk mendapatkan visa haji Furada.

Siti Esah berkata pihaknya akan melakukan laporan polis sekiranya pihak syarikat tidak membuat bayaran semula segala bayaran dan kos yang telah keluarkan.

— BERNAMA