Amanda Lacaze.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation, Amanda Lacaze.

MELBOURNE – Lynas Corp, pengeluar nadir bumi terbesar yakin dengan proses pembaharuan lesen operasi syarikat itu di Malaysia.

“Kami terlibat dalam proses ini dengan tahap keyakinan yang tinggi kerana kami tahu kami tidak menyembunyikan rahsia perkara-perkara yang tidak jujur,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze.

Tambahnya, syarikat itu melihat kerajaan Malaysia kini fokus untuk membangunkan industri-industri berteknologi tinggi.

Lacaze berkata, Kerajaan Malaysia begitu mengambil berat tentang pembangunan ekonomi dan oleh sebab itu, Lynas telah melaksanakan keseimbangan dengan tidak mengenepikan kelestarian alam sekitar dengan beroperasi secara selamat dan mampan.

Pada 31 Mei lalu, perdana menteri berkata, Malaysia akan membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di negara ini, sekali gus menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Akhir tahun lalu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat bagi pembaharuan lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara ini.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF), LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005). – MalaysiaGazette