KUALA LUMPUR – Biarpun telah lebih 15 tahun berlaku, namun perkongsian kisah seorang gadis yang mendakwa hampir diculik oleh ‘lelaki kucing’ menarik perhatian warganet.

Lelaki tersebut sebelum ini pernah dikaitkan dengan kehilangan arwah Nurin Jazlin Jazimin dan seorang lagi kanak-kanak perempuan setahun kemudiannya.

Eva Natasha menerusi Twitter yang semakin tular di media sosial berkata, pernah disapa oleh ‘lelaki kucing’ sewaktu berumur 11 tahun.

Lelaki tersebut kata Eva, mengajaknya memberi makanan pada kucing berhampiran tasik ketika berjalan kaki pulang dari pasar malam.

“Sebenarnya saya hampir menjadi salah seorang mangsa diculik selepas kehilangan arwah Nurin Jazlin. Saya percaya arwah masa itu masih hidup. Seorang lelaki mendekati saya minta tolong untuk beri kucing makanan,” katanya.

Selepas menolak permintaan tersebut atas alasan ingin menonton program televisyen kegemarannya, lelaki itu menurut Eva Natasha kelihatan berang dan menjerti “kalau tak nak tolong cakap je lah tak nak tolong” kepadanya.

Menceritakan pengalaman tersebut kepada ibunya, Eva dibawa untuk membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya.

Eva juga menjadi salah seorang yang dipanggil polis membantu siasatan kehilangan arwah Nurin sekitar tahun 2007.

Gadis itu turut berkongsikan ciri-ciri ‘lelaki kucing’ tersebut iaitu bercermin mata, berbaju putih dan berseluar pendek.

Selepas kehilangan Nurin Jazlin Jazimin pada Ogos 2007 kemudian seorang lagi kanak-kanak dilaporkan hilang di Taman Medan, Petaling Jaya.

Mengimbau kes kehilangan kanak-kanak perempuan dua tahun berturut-turut pada ketika itu, Eva baru menyedari taktik lelaki itu untuk meminta kanak-kanak memberi makanan kepada kucing di kawasan yang gelap.

“Dah lah area gelap lombong penuh pokok pokok kat situ. memang tak logik minta tolong budak kecik mcm aku. sendiri pun boleh bagi makan kucing kan. sekarang baru aku boleh fikir, dulu asyik fikir doraemon je,” ujarnya.

Perkongsiannya itu mendapat 10,000 Like dan lebih 17,000 Retweet.

Untuk rekod, sehingga kini pembunuh kejam arwah Nurin masih belum berjaya diberkas.-MalaysiaGazette