Baru Bian
Baru Bian

KUALA SELANGOR – Kajian berhubung pengambilan alih empat konsesi tol telah siap dan akan diputuskan kabinet pada bulan ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, hasil penemuan kajian tersebut telah diserahkan kepada semua kementerian bagi membolehkan perbincangan lanjut mengenai industri tol negara dibentangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

“Selepas pertimbangan mendalam, Kabinet akan membuat keputusan pada bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah di sini hari ini.

Baru bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“Saya rasa tidak patut saya bercakap mengenai sesuatu yang belum pasti tetapi apa yang boleh saya katakan, cadangan yang dikemukan nanti pastinya baik untuk semua rakyat dan para pemegang taruh mempunyai hak untuk memberi pertimbangan,” katanya.

Pada Jun lalu, Baru memaklumkan cadangan pengambilan sebarang lebuh raya hanya akan dibuat oleh Kabinet selepas mengambil kira hasil kajian yang dijalankan oleh kementerian tersebut.

Jelasnya, kementerian telah melantik sebuah perunding audit bebas pada Januari tahun ini untuk mengkaji dan menilai hala tuju industri tol negara. – MalaysiaGazette