logo FELDA

KUALA LUMPUR – Kes saman Synergy Promenade Sdn. Bhd. terhadap Felda dan syarikat pelaburannya, Felda Investment Corp. Sdn. Bhd. (FIC) serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG WPKL) berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City akan didengar di Mahkamah Tinggi 17 Oktober ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Synergy Promenade.

Pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City itu memfailkan saman terhadap Felda, FIC dan PTG WPKL di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Dalam kenyataan tuntutannya, Synergy Promenade berkata, syarikat itu menandatangani perjanjian dengan FIC pada 2 Jun 2014, di mana ia telah dilantik sebagai pemaju induk untuk pembangunan bercampur di 24 bidang tanah, berukuran 20.66 ekar secara keseluruhan, dimiliki oleh Felda yang terletak di Jalan Semarak.

Di bawah perjanjian itu, FIC bertanggungjawab mendapatkan Felda untuk menyediakan tanah projek dan melantik syarikat itu sebagai pemaju tunggal dengan hak tunggal dan eksklusif untuk menjalankan projek itu dan untuk membangunkan tanah itu dalam pelbagai fasa dalam tempoh 10 tahun dari tarikh perintah pembangunan pertama dan penukaran tanah kepada kategori komersial.

Synergy Promenade berkata, FIC dikehendaki menyerahkan tanah kosong dalam tempoh 30 hari selepas menandatangani perjanjian itu dan juga memastikan bahawa pemilikan itu tidak dibatalkan oleh Felda sebelum projek selesai.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa bahawa pada atau sekitar Januari 2016, Felda dan FIC hanya menyerahkan satu bidang tanah kepada syarikat itu. – MalaysiaGazette