Dr. Ahmad Yunus Hairi
Dr. Ahmad Yunus Hairi

SHAH ALAM – UMNO dan Pas Selangor menyokong kepimpinan Menteri Besar, Amirudin Shari sehingga habis tempoh sepenggal.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, konflik politik yang melanda negeri itu dikhuatiri akan mengulangi sejarah Langkah Kajang pada 2014 akibat perebutan kuasa.

“Hari ini di negara kita dipenuhi isu-isu berkaitan kekecohan antara Pakatan Harapan yang memimpin negara seolah-olah menyerap di negeri Selangor. Kita cukup khuatir

“Pas dan UMNO menyokong supaya MB Selangor terus kekal sehingga habis tempoh yang diberikan, kita tidak mahu Langkah Kajang berlaku lagi di Selangor,” katanya pada sidang media.

Katanya, pihak Istana Selangor juga tidak berminat dengan hal yang dicetuskan oleh pemimpin Pakatan Harapan yang akhirnya akan mengganggu tugas pentadbiran negeri.

“Ini juga saya lihat pihak Istana tidak berminat dengan isu-isu ini yang penting kerajaan menjaga rakyat, hentikan hal remeh-temeh, gejolak dan kekecohan di antara mereka,” tambah.

Jelas beliau, situasi ini hanya akan mengakibatkan kekacauan sehingga menjadikan rakyat mangsa.

Sekiranya pilihan raya dilakukan semata-mata untuk menggantikan Menteri Besar, pembaziran juga akan berlaku, tambah Yunus.

Terdahulu UMNO dan Pas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perpaduan Ummah yang dihadiri  Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Kedudukan Amirudin Shari dilihat mula goyah kebelakangan ini bermula dengan sokongannya terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung video intim yang dikaitkan dengannya.

Pakatan Harapan Selangor turut dilihat berhadapan konflik apabila usul pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara satu pihak tidak berjaya dibahaskan.

Malah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim bertindak memendekkan sidang Dewan Undangan negeri (DUN) sehingga semalam, meskipun sepatutnya dijadualkan berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos.

Berhubung pendirian berkenaan enakmen penukaran agama, Pas dan UMNO, kata Yunus, menyokong apa juga keputusan selaras dengan kepentingan agama Islam. – MalaysiaGazette