Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik berucap pada sidang media mengenai keputusan mesyuarat Kabinet berhubung isu tulisan khat yang dilaksanakan secara pilihan di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata isu pendidikan adalah termaktub kepada kerajaan Persekutuan untuk menentukannya.

Tambah beliau, ia adalah isu nasional dan negeri-negeri di Malaysia harus mengikuti dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sabah dan Sarawak masih dalam Malaysia kan. Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, pendidikan adalah isu Persekutuan jadi apa hal pun pelaksanaannya adalah di peringkat nasional.

“Ini SJKC dan SJKT sahaja,” katanya dalam sidang media mengenai keputusan Kabinet berkaitan tulisan Jawi di kementeriannya, hari ini.

Maszlee diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri, James Masing yang mencadangkan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Michael Manyin agar mencadangkan kepada Kabinet negeri untuk menolak pembelajaran khat di sekolah negeri Sarawak.

Malah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen juga berkata majoriti rakyat di negeri itu menentangnya dan menggesa Putrajaya untuk menjadikan khat sebagai subjek pilihan bagi sekolah vernakular di negeri itu.

Memetik laporan The Malaysian Insight (TMI), Sabah dan Sarawak tetap dengan pendirian untuk tidak melaksanakan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular di negeri itu.

Difahamkan, Sarawak kini mencari jalan untuk menghalang pembelajaran khat jawi secara sah di negeri itu.

Malah Sabah pula menyatakan masih kurang tumpuan diberikan kepada keperluan yang lebih mendesak di sekolah-sekolah luar bandar. – MalaysiaGazette