KUALA LUMPUR – Tiada sebarang rundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan antara punca komuniti bukan Melayu dan pendidik di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) membantah keputusan awal kerajaan mahu melaksanakan pembelajaran khat Jawi.

Perkara yang sama juga dinyatakan Sabah dan Sarawak, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Keadaan itu, katanya, telah menyebabkan timbul rasa curiga dan defisit amanah daripada pihak berkepentingan di sekolah rendah Cina dan Tamil bahawa terdapat agenda tersembunyi oleh Kementerian Pendidikan.

Menurut beliau, keputusan Kabinet seni khat atau ilustrasi Jawi hanya pilihan masih tidak dapat memuaskan hati dalam kalangan bukan Melayu yang mahu pengenalan mata pelajaran itu ditangguh, sementara menunggu konsultasi dengan semua pihak berkepentingan di sekolah rendah Cina dan Tamil.

“Walau bagaimanapun, keputusan Kabinet semalam adalah ia tidak wajib tetapi pilihan dan tidak diuji dalam peperiksaan, semoga rakyat Malaysia terus maju,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan di sini.

Rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, tambahnya, harus saling bekerjasama untuk memahami kebimbangan yang membahagikan dan aspirasi yang menyatukan semua.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya bekerjasama untuk memahami kebimbangan yang memisahkan kita dan aspirasi lebih kuat yang menyatukan semua.

“Mari kita bekerjasama dengan penuh hormat kepada kepelbagaian dan menghargai perbezaan yang akan menyebabkan kita kuat dan lebih berjaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette