Penyanyi, Wany Hasrita (kiri) bersama Amira Othman yang menjadi selebriti jemputan Kementerian Media Arab Saudi tahun ini. foto RADZUAN HASSAN, 08 OGOS 2019

JEDDAH – Penyanyi, Wany Hasrita sujud syukur manakala Amira Othman pula seakan tidak percaya apabila menjadi selebriti jemputan menunaikan haji anjuran Kementerian Media Arab Saudi.

Kedua-dua penyanyi muda itu menganggap ia ‘hadiah’ bermakna kepada mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima pada usia muda.

“Saya mulanya terkejut dan sujud syukur selepas menerima pelawaan ini dan teruja kerana kali pertama berada di Tanah Suci.

“Saya berhasrat sujud syukur sekali lagi di depan Kaabah,” ujarnya ditemui di sini hari ini.

Wany, 27, berkata, dia diberi peluang membawa peneman dan memandangkan ibunya tidak dapat mengikutinya, dia memilih Amira.

Selain Wany dan Amira, pelakon Indonesia, Dude Harlino turut menerima jemputan yang sama dan ketiga-tiga mereka tiba di Jeddah semalam.

Bagi Amira, dia pernah berdoa untuk kembali lagi ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah sebelum ini.

“Saya mulanya anggap pelawaan Wany sebagai gurauan tapi rupa-rupanya betul. Saya doa untuk buat umrah lagi namun tuhan bagi untuk buat haji,” ujarnya penyanyi berusia 26 tahun itu. – MalaysiaGazette