KUALA LUMPUR-  Pasukan Malaysia yang bangkit daripada ketinggalan satu gol, berjaya menundukkan juara tiga kali Thailand, 2-1 untuk menjuarai Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-15 2019 di Stadium IPE Chonburi, Thailand, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah P. Maniam mengulangi kejayaan 2013 di mana Malaysia memenangi kejohanan itu buat kali pertama dengan mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi penentuan penalti susulan terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

Pada perlawanan hari ini, Thailand mendahului pada minit ke-16 melalui gol dijaringkan Theekawin Chansri, sebelum Malaysia bangkit dan menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua, melalui Muhammad Izrin Ibrahim pada minit ke-69 dan Muhammad Nabil Qayyum (minit ke-79), menurut laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Untuk rekod, Malaysia mendahului Kumpulan B sebelum mengalahkan pasukan tempat kedua Kumpulan A, Vietnam 3-1, di perlawanan separuh akhir pada Rabu.

Pasukan itu memulakan kempen mereka dengan membelasah Brunei Darussalam 8-0 pada 28 Julai, Kemboja (2-0) pada 30 Julai, Australia (3-0) pada 1 Ogos, sebelum seri 1-1 dengan Laos dan pasukan tuan rumah masing-masing pada 3 dan 5 Ogos.

Skuad tersebut yang kebanyakannya pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Kuantan Pahang akan pulang ke Malaysia, esok.

— BERNAMA