Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Saksi terakhir, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain bagi perbicaraan SRC International mendedahkan pihaknya tidak berjaya mendapatkan dokumen asal minit mesyuarat di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal yang kini sudah menghilangkan merupakan bekas Ketua Eksekutif SRC International.

Dokumen asal minit mesyuarat itu pada tarikh 7 September 2011 itu tidak ditemui SPRM ketika serbuan.

Sebaliknya, kata Rosli pihaknya hanya berjaya menemui salinan minit mesyuarat tersebut.

Menurut Rosli yang menyiasat kes tersebut, dokumen asal itu hilang, dipercayai telah di larikan oleh bekas Pengarah Kewangan SRC International, Terence Geh yang juga telah menghilangkan dan gagal ditemui sehingga kini.

Terence juga dipercayai merupakan sekutu kuat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Taek Low atau Jho Low.

Waran tangkap juga telah dikeluarkan terhadap mereka pada Disember lepas.

“Geh telah melarikan diri dan saya hanya mendapat salinan minit mesyuarat sahaja,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi.

Kata Rosli lagi, sejak menyiasat kes itu pihaknya telah telah memperolehi dan meneliti lebih daripada 1,000 dokumen yang berkaitan dengan kes berprofil tinggi membabitkan penyewelengan sebanyak RM42 juta yang dikaitkan dengan Najib pada masa itu.

Jelas saksi itu yang merupakan bekas pegawai Bahagian Operasi Khas (SOD) SPRM itu, dokumen diperolehi daripada bank, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan, SRC International, Gandingan Mentari, Ihsan Perdana Sdn Bhd dan banyak lagi.

Tambah Rosli, siasatan SPRM telah mula pada tahun 2015 dan ianya dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009, AMLATFAPUAA, dan Kanun Keseksaan.

Prosiding bersambung petang ini setelah berhenti rehat untuk memberi ruang untuk sembahyang Jumaat serta makan tengah hari.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa datang menemani bapanya di barisan belakang tempat duduk, sesekali senyum dengan para pengamal media. –MalaysiaGazette