Johor Bahru – Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menerima boo apabila beliau bercakap mengenai isu khat ketika berucap dalam satu majlis di Johor Bahru pada Jumaat.

Keadaan itu juga menyebabkan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri hanya berucap selama lima minit.

Menurut rakaman yang tersebar, keadaan di bawah pentas program riuh rendah dengan ada yang bersorak memberi sokongan selain bertepuk tangan, tetapi ada juga yang mengeluarkan suara boo.

Difahamkan, semasa kejadian, Kit Siang memberitahu bahawa beliau baru kembali dari India dan menyatakan negara itu kaya dengan kepelbagaian budaya dan bahasa.

Kit Siang juga menggunakan keadaan di India untuk meminta supaya orang Malaysia tidak menolak Jawi yang merupakan satu tradisi.

China Press melaporkan, seorang juga dilihat merampas mikrofon dan bertanya kepada Kit Siang sama ada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah diiktiraf oleh kerajaan.

Apabila Kit Siang turun dari pentas, seorang lagi menghampiri Kit Siang untuk berdebat dengan wakil rakyat itu, orang itu bagaimanapun dihalang dan Kit Siang meninggalkan majlis selepas berada di situ hanya selama 20 minit.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, Kit Siang hanya singgah secara singkat selama 20 minit kerana perlu menghadiri lebih daripada satu majlis pada malam itu. – MalaysiaGazette