Kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi.

MELAKA – Seorang ibu tidak menyangka salam dua anak perempuannya sebelum ke Perak bersama bapa mereka adalah sentuhan terakhir apabila dua remaja itu maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi.

Rosziati Muktar, 36, berkata beliau bertemu anak sulungnya Alia Azhar, 17, dan anak keduanya Alissa, 15, yang tinggal bersama ibu bapanya di Yong Peng, Johor pada Khamis.

“Tak sangka. Ketika saya menghantar barangan dapur ke rumah Mak di Yong Peng iaitu tempat mereka tinggal sejak kecil, mereka salam saya berkali-kali, dah salam selepas itu salam lagi, saya kata dah salam berapa kali nak salam dan Alissa jawab, ye ke ibu, dah salam

“Baru-baru ini mereka kerap kemas kini status di aplikasi WhatsApp menyatakan teringin pergi jalan-jalan seperti mandi di taman tema di Batu Pahat selepas Hari Raya Aidiladha dan saya pun telah merancang cuti pada Selasa depan, namun semuanya tidak kesampaian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini hari ini.

Rosziati yang bekerja di Batu Pahat sebagai Perunding Kecantikan itu berkata sejak kira-kira lapan tahun berpisah dengan suaminya Azhar Ahmad, 57, yang turut maut dalam kejadian itu, Alia dan Alissa serta anak bongsunya, Arshad, 14, tinggal bersama ibu dan bapanya Yong Peng.

Menurut beliau, setiap kali musim cuti sekolah dan sambutan hari perayaan Allahyarham Azhar akan menjemput dua anak perempuannya itu di Yong Peng untuk membawa mereka ke rumah bekas suaminya itu di Ipoh, Perak kecuali Arshad kerana anak lelakinya itu menghidap autisme.

Katanya kedua-dua anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seth, Yong Peng ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kecantikan kerana bercita-cita menjadi perunding kecantikan.

Rosziati berkata kedua-dua anaknya itu sentiasa disenangi orang sekeliling kerana berkeperibadian baik dan mendengar kata.

Selain bapa dan dua beradik itu, turut terkorban dalam nahas pukul 9.40 malam semalam ialah kakak bapa mereka, Habibah 60-an dan isteri Azhar yang hanya dikenali sebagai Halimaton, 24.

Turut maut di tempat kejadian ialah pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berusia 51 tahun namun belum dikenal pasti identitinya, manakala penumpang perempuan dipercayai anak mangsa mengalami kecederaan parah.

— BERNAMA