Kumpulan 10 sahabat yang diketuai Sapari Burahan menjalankan aktiviti membakar lemang di padang permainan Jalan 7/3, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

BANGI – Tempoh 17 tahun mengenali hati budi masing-masing tentunya mencatatkan pelbagai pengalaman manis bagi sekumpulan sahabat yang merupakan kumpulan pertama menghuni di kawasan kejiranan Seksyen 7/3 di Bandar Baru Bangi di sini.

Ada kalanya tercuit hati, tersentuh perasaan – tidak kurang juga yang ‘merajuk’ sekejap, namun kesemuanya itu tidak pernah memutuskan ikatan persahabatan yang sememangnya telah tersimpul kemas.

Ukhuwah dan silaturrahim yang sedia terjalin dikukuhkan lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha apabila kumpulan 10 sahabat diketuai Sapari Burahan sepakat mahu menghidupkan tradisi membakar lemang yang semakin dilupakan masyarakat bandar.

Lantas bermula jam 6 petang Jumaat lalu bertempat di padang permainan, aktiviti membakar lemang dimulakan, dengan segala persiapan termasuk mengambil buluh di Hulu Langat dan mencari kayu api di sekitar Bangi telah dilakukan seminggu lebih awal.

Keperluan lain seperti beras pulut, santan dan pelbagai lagi pula disediakan sehari lebih awal untuk memastikan proses membakar lemang berjalan seperti yang dirancang sejak sebulan lalu.

_DSC0885
Aktiviti membakar lemang sempena sambutan Aidiladha.

Menggunakan kepakaran sahabat dalam kalangan kumpulan itu, akhirnya 300 batang lemang siap dibakar pada pukul 5.30 pagi dan diuruskan untuk proses pengagihan kepada anggota kejiranan yang telah membuat tempahan.

Menurut Sapari, hasil jualan lemang akan disalurkan untuk membangunkan sistem keselamatan di kawasan kejiranan 7/3 dalam usaha untuk memastikan kesejahteraan penghuni di situ.

“Aktiviti sebegini juga telah dapat memupuk semangat setiakawan dan kerjasama yang sangat baik dalam kalangan kejiranan yang tinggal di bandar.

“Semoga aktiviti ini menjadi pemangkin kepada semua pihak bagi meningkatkan lagi semangat setiakawan dan kejiranan agar dapat mengekalkan budaya tradisi yang semakin dilupakan oleh generasi muda,” katanya.

korban bangi
Bergotong royong melapah daging korban.

Sementara itu, kejiranan Jalan 7/3 juga melaksanakan ibadan korban dengan menumbangkan lima ekor lembu yang disempurnakan secara gotong royong. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.