Jenazah Allahyarham Muhammad Danial Syed Syakir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2019

BANGI – Jenazah Syed Muhammad Danial Syed Syakir telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota pada jam 4.20 petang tadi selepas mayatnya selesai dibedah siasat di Hospital Serdang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Qistina Ayu Rozhan Mohd Rozhan, 28, dan bayi perempuan yang baru berusia 4 bulan.

Arwah merupakan anak Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria.

MGF11082019_Pengkebumian Arwah Syed Muhammad Danial Syed Syakir_11
Qistina Ayu Rozhan Mohd Rozhan mengucup dahi suaminya, Allahyarham Muhammad Danial Syed Syakir selepas selesai disolatkan di Masjid Al-Taqwa Bandar Bukit Mahkota Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2019

Terdahulu mayatnya dimandi dan dikafankan di Hospital Serdang sebelum bergerak dengan van jenazah ke Masjid Al-Taqwa Bandar Bukit Mahkota pukul 3.05 petang.

Jenazah arwah kemudian tiba Masjid Al-Taqwa Bandar Bukit Mahkota tepat 3.35 petang tadi dan disembahyangkan selepas waktu Zohor.

Ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan Allahyarham dan keluarga telah menunggu ketibaan jenazahnya di Masjid Al-Taqwa sejak pukul 12.30 tengah hari lagi bagi memberi penghormatan terakhir.

Kesedihan jelas terpancar di wajah ibu arwah, Nik Anis dan balunya yang tidak henti menitiskan air mata ketika proses pengebumian Syed Muhammad Danial dijalankan.

MGF11082019_Pengkebumian Arwah Syed Muhammad Danial Syed Syakir_16
Nik Anis Nik Zakaria (kiri) menenangkan isteri Allahyarham Muhammad Danial Syed Syakir, Qistina Ayu Rozha Mohd Rozhan (kanan) ketika pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2019

Nik Anis dan Qistina yang masih dalam keadaan yang cukup sedih tidak mahu bercakap dengan media.

Syed Muhammad Danial maut selepas terbabit dalam satu pergelutan akibat perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an dan direman tujuh hari mulai hari ini hingga 17 Ogos di Mahkamah Majistret Kajang pagi tadi.

MGF11082019_Pengkebumian Arwah Syed Muhammad Danial Syed Syakir_06
Jenazah Allahyarham Muhammad Danial Syed Syakir disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa Bandar Bukit Mahkota Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2019

Pasangan itu direman bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kemalangan berlaku lebih kurang pukul 1.40 tengah hari dan berlaku perselisihan faham hingga membawa kepada pergelutan antara dia dengan suspek lelaki.

“Lelaki yang berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Nilai dan disahkan meninggal dunia,” kata Dzaffir. – MalaysiaGazette