Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Isu cukai petroleum akan dirundingkan secara terus antara Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kata Ketua Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, isu itu tidak lagi dibincangkan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963.

Chieng Jen memberitahu, semua isu berkenaan petroleum dan “hak milik” sumber tersebut akan dirundingkan secara terus antara Perdana Menteri dengan Ketua Menteri.

“Disebabkan isu ini melibatkan perkara yang banyak, oleh itu jawatankuasa mengeluarkan isu ini dan menyerahkannya untuk dibincangkan terus oleh Abang Johari dan Dr. Mahathir,” katanya.

Chieng Jen berkata, jawatankuasa khas masih berbincang tentang isu seperti peruntukan khas kepada Sarawak serta pengagihan sumber gas asli.

“Mengikut Perlembagaan, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan khas kepada negeri setiap tahun berdasarkan populasi dan faktor-faktor lain.

“Peruntukan ini harus disemak semula setiap lima tahun, tetapi ia tidak pernah disemak sejak 1969,” katanya.

Chieng Jen yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa berkata, mesyuarat akan dijalankan pada bulan ini atau bulan depan. – MalaysiaGazette