Foto Facebook Dr Kamilin Jamilin.

KUALA LUMPUR – Sarjana Hadis, Dr Kamilin Jamilin berpendapat telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi tidak berniat menjatuhkan imej institusi tahfiz di negara ini.

Menerusi laman Facebook miliknya, Kamilin yang merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebaliknya berkata, banyak nilai positif dan pengajaran yang dipaparkan dalam telefilem itu.

“Sejujurnya saya atau sahibus samahah mufti jarang nak tengok drama sebegini dengan masa yang sangat terhad… Namun cerita Demi Tuhan Aku Bersaksi ini saya dapati banyak nilai positif dan pengajaran, dan langsung tak kelihatan menjatuhkan imej institusi tahfiz.

“Saya tersentuh apabila merenung sebahagian pengajaran cerita ini, iaitu kadang-kadang kita yang sayang agama, dan yang belajar agama inilah yang membuatkan insan yang diuji di luar sana menjauhi jalan hidayah. Namun pasti akan ada hamba Allah lain yang mampu ‘memimpin tangan’ mereka menjadi asbab hidayah,” tulisnya lagi.

Kamilin dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad adalah antara golongan agamawan yang sempat menonton Demi Tuhan Aku Bersaksi yang baru-baru ini mengundang kontroversi kerana didakwa memberi gambaran buruk pada pelajar serta pusat pengajian tahfiz.

Selain mereka berdua, turut hadir dalam sesi tayangan itu ialah Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan Mohd Dailami Che Age selain wakil dari syarikat produksi dan Radio Televisyen Malaysia.

Demi Tuhan Aku Bersaksi diterbitkan Prokuya Studios dan berkisahkan seorang mak nyah lakon Syafie Naswip yang cuba kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan mendalami ilmu agama.

Kritikan terhadapnya bermula apabila iklan acah dan sinopsisnya disiarkan di internet.

Antaranya daripada Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman yang berkata, paparan watak songsang hanya mencemarkan imej institusi tahfiz.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad pula mempertikaikan keperluan drama itu menyorot institusi tahfiz manakala pemimpin PAS Riduan Mohd Nor menyifatkan drama tersebut sebagai sampah yang mengangkat isu “persemburitan dalam kalangan institusi tahfiz.”

Bagaimanapun, menurut Pegawai Perhubungan Media RTM Nurhaninah Ayub, isi kandungan telemovie tersebut tiada niat memaparkan sisi negatif pusat tahfiz, sebaliknya sarat mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat, manakala penerbitnya Fadzil Zahari mendakwa ada pihak memanipulasi babak-babak tertentu bagi memburukkan drama itu.

Mengulas lanjut, Kamilin berkata beliau dan Mufti Wilayah Persekutuan cuba menjadi ‘jambatan’ antara agamawan dan dunia hiburan.

“Jambatan ini masih baru, masih banyak ruang untuk menjayakannya. Sudah pasti ia masih belum benar-benar mampan. Namun alhamdulillah ada sumbangan dan cahaya yang sangat positif,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zulkifli sebelum ini turut diundang menonton Polis Evo 2 selepas filem itu didakwa memberi gambaran buruk terhadap Islam. – MalaysiaGazette