BEIJING – Jumlah kematian akibat taufan Lekima di timur China meningkat kepada 44 orang setakat pagi Isnin.

Menurut data rasmi negara tersebut, 12 lagi kematian dilaporkan termasuk tujuh dari wilayah Zhejiang dan lima dari Shandong dengan 16 masih lagi hilang.

Televisyen kerajaan, CCTV melaporkan 32 kematian setakat semalam.

Taufan Lekima dengan angin berkelajuan 187 km/jam berlaku pada awal Sabtu di wilayah Zhejiang dan ribut itu telah menuju ke utara Shandong dan sekitarnya.

Dalam pada itu, Biro Pengurusan Bencana Shandong berkata, lebih 180,000 orang terpaksa diselamatkan dari wilayah berkenaan.

Data terkini dari Shandong membawakan anggaran keseluruhan kerugian kepada ekonomi China akibat taufan berkenaan adalah 18 bilion yuan (AS$2.55 bilion).

Ini termasuk kerosakan 364,000 hektar ladang tanaman dan lebih 36,000 rumah.

Lekima merupakan kejadian taufan kesembilan yang berlaku di China pada tahun ini.

Menurut CCTV, lebih 3,200 penerbangan terpaksa dibatalkan semalam bagaimanapun perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi yang digantung semalam, kini dibuka semula.- Agensi