Bangunan ibu pejabat Utusan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Badan Wartawan Malaysia (IoJM) menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan terhadap Kumpulan Utusan dan syarikat-syarikat lain yang gagal membayar gaji kakitangan mengikut kontrak yang telah ditandatangani di antara majikan dan pekerja.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, IoJM berkata, ini bukan kali pertama Utusan Melayu Malaysia Bhd. (UMMB) gagal membayar gaji kira-kira 800 kakitangannya.

Selain kakitangan yang masih bekerja, UMMB juga gagal membayar pampasan kepada pekerja yang terlibat dalam skim pemberhentian sukarela (VSS) seperti yang dijanjikan.

“Walaupun keseluruhan industri media sedang menderita akibat perolehan yang rendah dan ketidaktentuan ekonomi, syarikat-syarikat media masih perlu bertanggung jawab terhadap kakitangan masing-masing dengan menyediakan pembayan gaji mengikut kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini atau sekurang-kurangnya menyediakan penyelesaian alternatif.

“IoJM meminta pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia dan syarikat-syarikat lain yang telah melanggar kontrak.

“IoJM menegaskan, semua organisasi media mesti perlu memastikan ada sumber yang cukup bagi memenuhi tuntutan kewangan masing-masing,” katanya.

Tiga hari lalu, MalaysiaGazette melaporkan, sejumlah 769 kakitangan UMMB hidup dalam kekurangan dan tekanan sehingga terpaksa berhutang dengan ah long selepas tidak dibayar gaji melebihi dua bulan.-MalaysiaGazette