Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor

KUALA LUMPUR – Masyarakat dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan rangkaian komunikasi dengan cara memecahbelahkan serta mengganggu gugat perpaduan kaum lantas menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis telah mengesan pelbagai spekulasi telah dibuat di rangkaian komunikasi platform media sosial mengenai kematian melibatkan Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29 semalam.

“Malah turut dikesan usaha sesetengah pihak memanipulasi insiden tersebut bagi membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat dan ketenteraman awam di negara ini.

“Polis telah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian terebut. Tangkapan telah dibuat ke atas suspek suspek yang terbabit,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya segera berhenti menyebarkan spekulasi mengenai insiden itu sebagai mengelak sebarang unsur mengganggu-gugat keharmonian.

Malah beliau juga merayu saksi saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya ekoran daripada Insiden kemalangan yang berlaku di Kilometer 293, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kajang pada 10 Ogos yang berakhir kematian seorang lelaki, spekulasi tersebar luas mengenai kematian itu.

Beliau meminta kerjasama awam supaya menghentikan daripada spekulasikan insiden kemalangan tersebut supaya polis dapat melengkapkan siasatan tanpa masalah.

Semalam pasangan suami isteri berusia antara 30-40an ditahan reman sehingga 17 Ogos ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan semalam mengesahkan penahanan itu dan memberitahu kemalangan lebih kurang pukul 1.40 tengah hari, dan berlaku perselisihan faham yang membawa kepada pergelutan antara mangsa dengan suspek lelaki berumur awal 40-an.

“Lelaki (Danial) yang berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Nilai dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Muhammad Danial dikebumikan semalam di Tapak perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota sekitar 4 petang dikelilingi ibu, isteri, adik beradik dan bapa mertua serta rakan kenalan rapat dalam keadaan suasana pilu.

Arwah yang merupakan seorang pengurus bank meninggalkan balu dan anak perempuan berusia 4 bulan.- MalaysiaGazette