Jenazah Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah keluarga Allahyarham Syed Muhammad Danial yang meninggal dunia selepas berlaku pergelutan ekoran perselisihan faham kemalangan di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi, kelmarin.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Syed Muhammad Danial.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” ucap beliau di Facebooknya, hari ini.

Syed Muhammad Danial meninggal dunia di Nilai Medical Centre selepas tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan dalam kemalangan jalan raya di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 1.40 tengah hari itu, kemalangan kecil terbabit menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan lelaki berusia 40 tahun sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian dari sebuah hospital di Nilai pada jam 3.40 petang dengan memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia. -MalaysiaGazette