KUALA LUMPUR- Pelakon India, Priyanka Chopra dituduh “menggalakkan peperangan” selepas membuat komen mengenai ketegangan di antara India dan Pakistan ketika ini.

Pelakon Bollywood yang kemudiannya mencipta nama di Amerika Syarikat itu digelar hipokrit oleh seorang penonton di sebuah acara kecantikan di sini.

Wanita yang menggunakan tweethandle Ayesha Malik itu mengaku melontarkan soalan mengenai kenyataan Priyanka berhubung ketegangan di antara dua negara berjiran itu semasa sesi soal jawab Beauty Con yang mana pelakon ternama itu menjadi panelis.

Pertikaman lidah di antara Ayesha dan Priyanka sempat dirakam kamera.

“Sukar untuk mempercayai kata-kata anda apabila bercakap mengenai kemanusiaan, kerana ketika ini sebagai jiran anda, rakyat Pakistan, saya tahu yang anda adalah seorang yang hipokrit.

“Anda adalah Duta Keamanan Unicef dan anda menggalakkan perang nuklear terhadap Pakistan. Tiada pihak yang menang dalam hal ini.

“Sebagai seorang rakyat Pakistan, jutaan rakyat seperti saya telah menyokong anda di Bollywood,” kata Ayesha.

Priyanka kemudiannya mengambil mikrofon dan membalas kenyataan tersebut dengan: “Saya dengar apa yang anda perkatakan. Apabila anda sudah selesai meluahkan kemarahan (saya akan menjawab). Faham? Sudah? Ok, baik.

“Perang adalah sesuatu yang saya sendiri tidak suka tetapi saya seorang patriotik.

“Saya rasa kita semua ada titik tengah yang kita terpaksa lalui.

“Cara kamu bercakap dengan saya ketika ini, cik, jangan menjerit. Kita semua di sini kerana kasih sayang, jangan menjerit dan jangan malukan diri sendiri.

“Terima kasih di atas semangat, soalan dan suara anda.”

Ayesha kemudiannya menghantar satu ciapan di Twitternya mengakui bahawa beliau adalah wanita yang dikatakan telah “menjerit” kepada Priyanka.

“Hai, saya gadis yang dikatakan telah “menjerit” kepada @priyankachopra. Sukar untuk mendengar beliau berkata “kita sepatut berjiran dan menyanyangi satu sama lain”- pergilah beri nasihat itu kepada perdana menteri beliau.

“India dan Pakistan dalam keadaan bahaya tetapi sebaliknya ciapan beliau menyokong perang nuklear,” kata Ayesha sambil mengepil bersama ciapan yang dihantar oleh Priyanka melalui akaun Twitter rasminya pada 26 Februari lalu yang menyebut “Jai Hind” atau kemenangan untuk India.

Ketika ini, #priyankachopra menjadi tanda pagar paling terkenal di Twitter Malaysia setakat ini.- MalaysiaGazette