KUALA LUMPUR – Skuad bawah 18 tahun (B-18) negara terus berada di landasan terbaik untuk merebut slot separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 apabila membenam Kemboja 3-0 di Stadium Thanh Long, semalam.

Tindakan pengendali negara, Brad Maloney merehatkan beberapa pemain utama seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Firdaus Khaironisam jelas tidak menjejaskan permainan apabila pengganti lain masih mampu menjelmakan jaringan.

Kemenangan itu menjadikan Malaysia antara pasukan pilihan melepasi peringkat Kumpulan B bersama tuan rumah dan Australia.

Pada masa sama, ia penting untuk meningkatkan motivasi pemain ketika mereka bakal berdepan ujian sebenar menentang Australia, esok.

Malaysia mendahului permainan seawal minit ke-18 menerusi ketua pasukan, Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi sebelum Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan minit ke-38.

Skuad negara makin bernafsu memburu gol dan kali ini giliran Muhammad Firdaus Ramli mencipta nama selaku penjaring selepas sepakan percumanya pada masa kecederaan babak pertama menewaskan penjaga gol lawan, Vireak Dara.

Bersambung babak kedua, Kemboja cuba bangkit tetapi anak buah Maloney membuktikan yang mereka memiliki kualiti lebih baik untuk mengekang serangan pasukan lawan.

Skuad negara sepatutnya mampu berpesta gol namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan gol sekali gus aksi berakhir dengan 3-0. – MalaysiaGazette