Anthony Loke

PUTRAJAYA – Anthony Loke Siew Fook tidak mahu melayan pertanyaan berhubung isu tulisan khat yang menjadi polemik dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Menteri Pengangkutan itu yang ditemui semasa sidang media selepas majlis Menandatangani Perjanjian Antara Lembaga Pelabuhan Johor dan Smart Crest Sdn.Bhd berkata, beliau tidak berminat untuk menjawab soalan lain, selain acara yang dihadiri hari ini.

Sebaliknya, beliau hanya mahu fokus kepada soalan-soalan berkaitan projek Bunker Island sahaja.

“Yb boleh kita ke soalan lain isu lain? soal salah seorang wartawan dalam sidang media.

Bagaimanapun Siew Fook membalas:”Baik..ini majlis menandatangani perjanjian jadi mungkin lebih baik kita menghadkan soalan kepada subjek majlis ini sahaja,” katanya sebelum seorang lagi wartawan cuba mengajukan soalan mengenai komen Perdana Menteri berhubung isu khat semalam.

Bagaimanapun Siew Fook yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan lantas mengulangi jawapan yang sama:”Seperti saya cakap tadi majlis hari ini adalah berkenaan majlis menandatangani perjanjian antara Lembaga Pelabuhan Johor dan sektor swasta dan saya tak mahu mencampur aduk dengan isu lain…mari kita fokus dalam majlis ini”.

Wartawan tanpa berputus asa terus cuba mendekati menteri berkenaan yang menuju ke bilik VIP di sebelah dewan majlis tersebut tetapi gagal.

Wakil rakyat itu keluar meninggalkan meninggalkan hotel yang menjadi tempat berlangsungnya majlis berkenaan kira-kira 45 minit kemudian.- MalaysiaGazette