Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) hari ini menolak label rasis yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya amat kesal dengan tuduhan tersebut.

“Dong Jiao Zong menegaskan bahawa pendirian kami selama ini adalah untuk membangunkan pendidikan bahasa ibunda dan menggalakkan kepelbagaian budaya antara kaum di negara kita.

“Kami sedar akan realiti kepelbagaian di negara kita, maka kami menggalakkan persefahaman, penghormatan dan keterangkuman terhadap perbezaan budaya antara kaum, dan menolak sebarang tindakan yang merendahkan kaum lain.

“Untuk menggalakkan interaksi antara kaum, Dong Zong telah menubuhkan jawatankuasa pembangunan kepelbagaian kaum dan budaya yang berusaha untuk menjalankan aktiviti-aktiviti interaksi bagi para pelajar antara aliran sekolah,” kata mereka hari ini.

Kenyataan itu dibuat setelah Dr Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk berkaitan isu tulisan khat dan Jawi di sekolah.

Mengulas lanjut, Dong Jiao Zong berkata, bukan hanya persatuan tiu menolak pelaksanaan seni khat Jawi, namun ia mewakili suara arus perdana dalam komuniti bukan-Muslim di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Pengajaran seni khat ditolak lantaran kegagalan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengambil pandangan masyarakat bukan Melayu – sama ada Dong Zong, Jiao Zong, Tamil Foundation ataupun MCCBCHST.

“Hakikatnya, seni khat selama ini diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bermula Tahun 4 untuk murid muslim yang telah mempelajari tulisan Jawi sejak Tahun 1,” jelas mereka lagi.

Dong Jiao Zong pada Sabtu lalu menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Perkara itu dinyatakan Pengerusinya Tan Tai Kim yang berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Dong Zong pusat dengan Dong Zong negeri-negeri hari ini.

Dong Jioa Zong sebelum ini turut mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

Justeru, pertubuhan itu menyeru Dr Mahathir agar mendengar pandangan semua pihak dalam polemik seni khat dan tidak menafikan pandangan bukan-muslim.

“Kerajaan Pakatan Harapan harus memastikan bahawa keputusan penting yang melibatkan kaum, bahasa, agama dan budaya dibuat hanya selepas libat-urus (engagement) yang merangkumi semua pemegang taruh,” katanya lagi.

Malah, Dong Jiao Zong sedia menjelaskan pendirian mereka kepada Perdana Menteri.

“Kami menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengambil langkah untuk membentuk badan konsultatif yang merangkumi semua komuniti bahasa dan agama dalam Kementeriannya agar kontroversi seperti isu seni khat yang dapat dielakkan sebermulanya, tidak berulang di masa depan,” kata mereka lagi. – MalaysiaGazette