Jepun-Korea

SEOUL- Korea Selatan merancang untuk menggugurkan Jepun daripada “senarai putih” negara-negara yang mendapat status perdagangan pantas bermula September ini.

Ia merupakan langkah serangan balas susulan peningkatan ketegangan diplomatik dan perdagangan di antara kedua-dua negara.

Peraturan perdagangan yang lebih ketat termasuk proses permohonan permit eksport Korea Selatan ke Jepun menjadi lebih panjang.

Menurut Menteri Industrinya, Sung Yun-mo, Jepun seharusnya diletakkan di bawah satu kategori baharu bersama negara-negara yang tidak mempunyai sistem kawalan eksport sejajar dengan “prinsip kawalan eksport antarabangsa”.

Menurut pegawai kanan Kementerian Perdagangan Korea Selatan, Park Tae-sung, Jepun menjadi negara pertama yang diletakkan di bawah kumpulan baharu itu disebabkan oleh amalan perdagangan mereka yang tidak baik.

Hubungan di antara dua negara itu panas selepas Mahkamah Tinggi Korea Selatan pada tahun lepas memerintah syarikat-syarikat Jepun membayar pampasan kepada rakyat Korea Selatan kerana dipaksa menjadi buruh ketika Perang Dunia kedua.- MalaysiaGazette