Saya bagaikan tidak percaya apabila diundang oleh pihak EZ Qurban untuk ke sana bagi menyempurnakan ibadah korban buat penduduk Islam di republik itu.

PADA tahun 1994, saya baru memulakan hidup sebagai pelajar kolej. Ketika itu setiap hari apabila saya menyemak helaian akhbar, akan terpampanglah kisah kekejaman yang berlaku dalam perang saudara di sebuah negara di Afrika bernama Rwanda.

Saya masih ingat bagaimana dalam tempoh 100 hari saja, perang saudara itu telah membunuh satu juta penduduknya, gila!

Penduduk Rwanda terdiri daripada tiga etnik utama iaitu Hutu, Tutsi dan Twa. Hutu adalah merupakan etnik majoriti diikuti oleh Tutsi dan Twa.

Perang saudara ini mula tercetus disebabkan oleh konflik dalaman dan perpecahan antara dua etnik terbesar Rwanda iaitu Hutu dan Tutsi.

Hutu yang merupakan etnik majoriti, lebih berkuasa dalam hal politik Rwanda. Manakala dengan walaupun jumlah yang lebih kecil, Tutsi lebih ke hadapan dalam bidang ekonomi terutamanya.

Menjelang tahun 1990, perang saudara meletus di Rwanda. Rwandan Patriotic Front (RPF) yang dianggotai oleh etnik Tutsi memberontak terhadap kerajaan Rwanda yang dikuasai oleh etnik Hutu.

Dipendekkan cerita, bermula dari sinilah berlakunya kekejaman yang tak termasuk dek akal manusia yang waras.

Golongan lelaki diseksa sehingga mati, bayi-bayi dicacatkan anggota badannya dan dibunuh manakala kaum wanita pula dirogol di depan keluarga sendiri serta perbagai bentuk kekejaman lagi yang tak mampu saya ungkapkan.

Kini sudah 25 tahun kisah itu berlalu.

rwanda lgSaya bagaikan tidak percaya apabila diundang oleh pihak EZ Qurban untuk ke sana bagi menyempurnakan ibadah korban buat penduduk Islam di republik itu.

Dari segi geografi, Rwanda terletak di timur benua Afrika dengan sempadannya dikelilingi oleh negara seperti Uganda, Tanzania, Burundi, dan Republik Demokratik Congo.

Ia terdiri dari gunung-gunung di bahagian barat dan juga padang hijau savannah di bahagian timur. Dengan keluasaan 26,338 km persegi dan populasi sebanyak 11,262,564, Rwanda adalah merupakan antara negara yang terpadat komposisi penduduknya di benua Afrika!

Perjalanan kami dari ibu negara Burundi, Bujumbura ke Rwanda melalui kawasan tanah tinggi dan bukit bukau yang mempersonakan sehinggakan dalam sedar tak sedar sudah hampir tiga jam kami berada dalam perut kenderaan.

Ketika kami sampai di kawasan sempadan Burundi- Rwanda, keadaan sudah mulai gelap. Yang ada hanyalah anggota tentera kedua-dua buah negara yang berkawal lengkap dengan senapang AK47.

Untuk masuk ke Rwanda, kami perlu mendapatkan visa dengan harga USD30 untuk seorang. Sebaik saja pasport saya dicop lambang kerajaan Rwanda, saya tahu saya tidak bermimpi lagi!

Dari pintu sempadan, perjalanan untuk sampai ke ibu negara Rwanda iaitu Kigali mengambil masa hampir satu jam setengah.

Hati semakin berdebar-debar. Memori 25 tahun lalu kembali mengimbau.

Ya, akhirnya saya tiba ke wilayah penuh sejarah dan darah…Rwanda! – MalaysiaGazette.