V Bin Mohamed Rosly menunjukkan kad pengenalan ketika ditemubual di Ramly Burger, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Nama adalah lambang identiti seseorang kerana dengan namalah seseorang dikenali sepanjang hayat.

Maksudnya dengan nama akan dapat diketahui dan dikenali seseorang serta menjadi tanda baginya.

Namun memiliki nama yang unik iaitu hanya satu huruf, seorang pelajar terpaksa berdepan dengan pelbagai pengalaman menarik setiap kali bertemu dengan masyarakat.

V bin Mohamed Rosly, itulah nama pelajar Tingkatan 5 yang bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini.

Anak bongsu empat beradik itu mengakui pernah berasa bosan untuk menerangkan kesahihan namanya berulang kali terutama kepada cikgu bermula di sekolah rendah.

Malah, remaja kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu berkata dia sememangnya sentiasa bersedia dengan pelbagai soalan setiap kali berurusan di kaunter-kaunter.

“Waktu zaman kanak-kanak dulu, memang pernah kena usik dengan kawan-kawan selain asyik kena terangkan kepada cikgu apabila betulkah nama hanya V sahaja.

“Tetapi bila sudah meningkat dewasa, saya rasa bangga pula sebab nama saya jarang dimiliki oleh rakyat Malaysia lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Mengulas sejarah namanya itu, V memberitahu nama itu diberikan oleh bapanya yang merupakan seorang askar.

Jelasnya, sebelum dia dilahirkan, bapanya memiliki dua sahabat baik yang mesra dengan panggilan Y dan Z.

Memandangkan mengidam anak lelaki selepas memiliki tiga anak perempuan, dia dinamakan V bagi menghargai tanda persahabatan bapanya itu.

Ditanya sama ada pernah ada keinginan untuk menukarkan namanya, V mengakui hasrat itu timbul pada zaman kanak-kanak.

“Namun ibu menasihati dan memujuk sambil berkata V adalah lambang keamanan.

“Lagi pun bentuk dua jari itu kata ibu seperti al-Quran dan hadis,” katanya yang beraksi sebagai penjaga gol dalm sukan hoki.

Mengulas pengalaman menarik memiliki nama satu huruf, V berkata, setiap membuat lencana nama, pasti huruf V akan tertinggal dan hasil yang diperolehi adalah nama bapanya iaitu Mohamed Rosly.

Diusik sama ada mempunyai nama pilihan lain jika diberi peluang menukar nama, V hanya tersenyum.

“Mungkin Alif atau Aiman,” katanya malu-malu yang kini tidak lagi janggal memiliki nama hanya V sahaja. – MalaysiaGazette