Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Menerusi Twitter, Tunku Azizah berkata,  Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut bersedih dengan berita itu.

“Alfatihah… takziah dari saya dan Tuanku… sedih sangat!,” tulisnya.

Untuk rekod, Syed Muhammad Danial, 29, meninggal dunia pada 11 Ogos akibat pergelutan dengan seorang lelaki susulan perselisihan faham selepas kemalangan di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Susulan kematiannya, polis sudah menahan seorang lelaki berusia 40-an dan isterinya untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan itu direman selama tujuh hari sehingga 17 Ogos ini.-MalaysiaGazette