Nora Anne Quoirin

SEREMBAN – Keluarga Nora Anne Quoirin mengesahkan mayat perempuan yang ditemui tengah hari tadi adalah anak mereka yang telah hilang sejak 4 Ogos lepas.

Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dekat sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop mengesahkan keputusan pengecaman tersebut pada sidang media.

“Kita telah membawa keluarga ini untuk membuat pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah remaja berkenaan.

“Proses bedah siasat akan dijalankan oleh pakar patologi kanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 10 pagi esok.

“Pada masa sama, operasi SAR belum dihentikan lagi untuk membantu kita menjalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Mayat Nora ditemui pada jam 1.57 tengah hari kira-kira dua kilometer dari resort penginapan Nora Anne dan keluarganya.

Polis sebelum ini juga mengesahkan penemuan mayat perempuan berkulit putih itu dalam keadaan sempurna dan tanpa pakaian.

Mayat  itu ditemukan sekumpulan pendaki yang menyertai operasi SAR di satu kawasan lurah berhampiran sungai sebelum dihantar ke HTJ menggunakan helikopter.

Nora, 15, yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di resort tersebut sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan berkenaan.

Selain Nora dan ibu bapanya, turut serta dalam percutian tersebut adalah dua adiknya.

Keluarga itu dikatakan tiba dari London untuk bercuti selama dua minggu di sini.

Semasa kejadian, mangsa tidur di dalam bilik bersama dua adiknya sebelum gadis tersebut didapati hilang kira-kira pukul 8 pagi. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast