M Kula Segaran

KUALA LUMPUR – Penceramah Zakir Naik tidak berhak untuk mempersoalkan tentang kesetiaan kaum India di Malaysia kerana beliau merupakan orang luar.

Sebagai seorang pelarian dan hanya mempunyai sedikit pengetahuan tentang sejarah rakyat Malaysia, Zakir Naik tidak sepatutnya diberi keistimewaan untuk merendahkan rakyat Malaysia yang lain, apatah lagi mempersoal kesetiaan mereka kepada negara.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, tindakan Zakir Naik itu tidak menggambarkan kedudukannya yang diberi taraf penduduk tetap.

Lantaran itu, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP akan membawa isu ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap penceramah kontroversi ini.

“Adakah Naik cuba melakukan perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama supaya beliau terus menikmati kekebalan dan keistimewaan dengan mendapatkan sokongan masyarakat Islam untuk terus tinggal di negara ini?

“Adakah Naik juga sedang memanfaatkan polemik semasa yang berkaitan dengan bangsa dan agama di negara ini demi kelangsungan hidup dan faedahnya yang bias dengan menggunakan wang pembayar cukai?,” soal Kula Segaran yang mengulas mengenai kenyataan Zakir Naik dalam ceramahnya di Kelantan baru-baru ini.

Dalam ceramah itu, Zakir Naik didakwa membandingkan Hindu di Malaysia dengan Muslim di India dengan menyatakan Hindu di sini menikmati hak mereka sepenuhnya berbanding Muslim di India.

Malah, katanya, penganut Hindu di sini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Kula, Malaysia adalah sebuah negara unik yang menikmati keamanan dan keharmonian yang relatif berbanding kebanyakan negara Islam lain disebabkan tindakan seimbang oleh para pemimpinnya sejak kemerdekaan.

Asas kukuh kestabilan sudah berakar umbi dalam dalam menampung pelbagai kumpulan etnik, tanpa mempersoalkan kesetiaan mereka kepada negara.

Undang-undang tertinggi negeri-negeri adalah sekular dan ia mampu memastikan kebaikan bersama untuk semua.

Katanya, walaupun ahli politik etno-agama terus memainkan isu perkauman, keseimbangan akal mampu menampung semua komuniti termasuk masyarakat dari Sabah dan Sarawak dalam tadbir urus hingga membawa kestabilan kepada negara ini sejak bertahun-tahun.

“Wajarkah rakyat Malaysia berpecah hanya disebabkan seorang lelaki yang dipanggil Zakir Naik?,” soalnya lagi.

Oleh itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersatu dan menjaga keamanan dan kestabilan negara dengan mendedahkan strategi Zakir Naik menggunakan sentimen agama dan perkauman di dalam negara yang mengamalkan toleransi dan harmoni.

Sehubungan itu, Kula berkata, sudah tiba masanya untuk Zakir Naik meninggalkan Malaysia untuk menghadapi tuduhan keganasan dan wang haram di India. – MalaysiaGazette