Menteri Pengangkutan (MOT), Yb Anthony Loke (tengah) diiringi Ketua Setiausaha MOT, Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman (kanan) dan Wakil Kementerian Kewangan, Yb Tony Pua (kiri) menyaksikan Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor, Rosnan Fathlal (dua kiri) dan Pengarah Urusan Smart Crest Sdn Bhd, Cher Lee Kiat (dua kanan) menukar dokumen pada Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) di antara Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor dan Smart Crest Sdn Bhd di Hotel Zenith, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan syarikat swasta tujuan khas (SPV) bernama Smart Crest Sdn.Bhd yang menawarkan diri untuk membangunkan Bunker Island untuk projek Kemudahan Terminal Minyak Bersepadu (IOTF) berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di perairan Johor.

Proses itu disahkan kerajaan menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian penyewaan tanah Bunker Island bersama Lembaga Pelabuhan Johor hari ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, dengan pemeteraian perjanjian itu, tanah pulau seluas 100 ekar itu akan disewakan untuk tempoh 30 tahun kepada syarikat itu.

Katanya, pada permulaan kadar sewa tahunan RM500,000 perlu dibayar syarikat pemaju itu untuk tiga tahun pertama dan kadar sewa RM2.19 juta dengan faedah lebih 10 peratus setahun bermula tahun keempat dan kelima.

Menurut beliau, projek Bunker Island itu tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan dan juga Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan merupakan pelaburan pihak swasta sepenuhnya.

“Di bawah kerajaan terdahulu Bunker Island bertukar tangan kepada pemaju pertama tetapi atas beberapa faktor mereka tidak dapat membangunkan projek itu, sebelum syarikat swasta ini tampil mengemukakan hasrat terhadap pulau itu pada sekitar tahun 2016-2017 beberapa kali.

“Namun kerajaan terdahulu tidak meluluskan disebabkan campur tangan pihak tertentu dan beberapa kekangan yang menggagalkan mendapatkan dana pelaburan.

“Bagaimanapun sekarang kerajaan Pakatan Harapan yang menyokong pelaburan dan perniagaan membantu syarikat berkenaan menangani masalah dan menandatangani perjanjian untuk memulakan projek berkenaan.

“Ini terpulang kepada mereka menggunakan kebijaksanaan dan mengumpul dana dan menarik rakan kongsi serta pelabur berpotensi untuk melaksanakan projek bertempoh 5 tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan tersebut.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal dan Pengarah Urusan Smart Crest Sdn Bhd, Ir. Cher Lee Kiat dan disaksikan oleh Siew Fook serta Pengurus Besar LPJ Muhammad Razif Ahmad dan Ketua Setiausaha Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman.

Tambah beliau, keseluruhan projek itu menelan kos berjumlah RM2 bilion dan perjanjian penyewaan tersebut membolehkan pemaju mencari pelaburan sama ada dengan cara membuat pinjaman atau menagih rakan kongsi dan mengumpul dana pembiayaan dalam beberapa bulan lagi.

Menurutnya,  ia akan dibangunkan dalam beberapa fasa dan fasa pertama dijangkakan siap dalam masa dua tahun lagi dan perjanjian penyewaan ini juga bakal memudahkan pemaju mencari pembiayaan dana projek.

Katanya, kerajaan dan LPJ selaku pemilik tanah Bunker Island akan membantu mereka menyediakan kemudahan menangani segala kerenah serta menyelia pelaksanaan projek ini tanpa sebarang masalah.

Justeru, Lee Kiat berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam bentuk tiga fasa dengan fasa pertama perlu disiapkan dalam masa dua tahun dengan kemudahan Bunker kerana mahu memastikan penjanaan pendapatan awal.

“Fasa kedua bergantung kepada kemampuan kita mendapatkan rakan kongsi projek ini iaitu melaksanakan Liquified Petroleum Gas (LPG) dan Liquified Natural Gas (LNG) atau Diesel jadi akan diperluaskan dalam bentuk tiga fasa.

“Setakat ini kami sudah berunding dengan beberapa pihak dan semuanya pelabur asing iaitu dari Timur Tengah, China dan Hong Kong tapi kami juga membuka pintu kepada pelabur tempatan.

“Kami akan mengambil masa tiga hingga empat tahun tetapi semuanya bergantung kepada pelabur kita yang akan membiayai projek ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnan Fathlal pula menjelaskan pemaju berkenaan akan diberi insentif dalam pembayaran sewa tanah Bunker Island selama tiga tahun dengan kadar sewa RM500,00 setahun dan RM2.19 juta setahun dengan kadar faedah melebihi 10 peratus bermula tahun keempat dan kelima sehingga tempoh sewa 30 tahun tamat.

Namun Muhammad Razif Ahmad menjelaskan bahawa ujian kelayakan tanah telah dibuat dan disimpulkan ia sesuai meneruskan projek itu tetapi akan dipantau dari semasa ke semasa dengan kajian berterusan di samping projek berjalan.-MalaysiaGazette