Dr. Asmah razalli
Dr. Asmah razalli

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan badan pertubuhan pendidikan Cina (Dong Zong) adalah rasis.

Ketua Wirawati, Dr. Asmah Razalli berkata, kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menunjukkan beliau telah sedar dan menyatakan fakta yang cukup bernas serta jujur.

“Tahniah kepada Dr. Mahathir kerana telah kembali sedar dengan apa yang Dong Zong lakukan selama ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dalam majlis ramah mesra di Langkawi semalam, Dr. Mahathir melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk Islamisasi.

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi, dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Menurut Dr. Asmah, Dong Zong sebagai persatuan sekolah persendirian Cina (SJKC dan SMJKC) perlu berterima kasih kepada pemimpin terdahulu selepas kemerdekaan yang cukup berbudi bahasa dan bertolak ansur.

Katanya, pemimpin terdahulu begitu baik hati membenarkan sekolah vernakular bebas ditubuhkan dengan bantuan dan dana persendirian untuk menjaga warisan bangsa dan budaya bangsa Cina.

“Sekolah vernakular bukanlah tanggungjawab serta tidak termaktub dalam sistem aliran Pendidkan Kebangsaan. Jadi, segala bentuk pendidikan vernakular yang kini berkembang pesat adalah atas budi bicara kerajaan dan  tolak ansur Pendidikan Negara.

“Dong Zong mungkin terlupa sistem pendidikan sekolah vernakular subur kerana rakyat Malaysia begitu bertoleransi, hormat menghormati yang menjadi asas perpaduan Malaysia.

“Sebab utama kewujudan vernakular dalam serpihan pendidikan Malaysia hanyalah ingin menjaga hati, warisan, bahasa dan  budaya kaum yang datang ke Malaysia supaya tidak lapuk ditinggal zaman,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, sangat logik jika kerajaan ingin mengekalkan warisan bangsa iaitu penulisan Jawi yang tiada kena mengena langsung dengan agama Islam.

“Mengapa Malaysia dan orang Melayu yang sekian lama bertolak ansur dan berhemah dengan warisan serta budaya lain boleh bertoleransi dengan segala sistem vernacular, tetapi sebuah kumpulan minoriti (Dong Zong) dengan sombongnya boleh menolak mentah-mentah warisan budaya.

“Islamofobia juga tidak sesuai dijadikan alasan bertentangan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan,” ujar beliau.

Menurut Dr. Asmah, sudah sampai masanya Dong Zong serta pemimpin bukan Melayu yang begitu lantang membangkang kehadiran seni penulisan Jawi menzahirkan ucapan maaf kepada rakyat Malaysia dengan menjadi lebih bertolak ansur dan tidak terlalu sombong.

Kata beliau, segala penghinaan, provokatif terhadap seni penulisan khat Jawi mahupun Islam sebagai agama persekutuan adalah satu penghinaan yang melampaui batas norma perpaduan. – MalaysiaGazette