Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di Dewan Seri Endon Puspanita Puri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau tidak boleh memberikan komen berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang akan membangkitkan sekali lagi isu pelaksanaan pembelajaran khat Jaawi dalam mesyuarat Kabinet esok.

Sebaliknya, beliau berkata, wartawan sepatutnya bertanya kepada menteri-menteri parti DAP kerana perkara itu akan dibawa oleh parti berkenaan.

“Saya ahli Bersatu bukan DAP. Wartawan patut tanya kepada menteri daripada DAP,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Semalam, Guan Eng berkata, beliau akan sekali lagi mengusulkan semakan terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu Darjah 4 di sekolah vernakular tahun depan dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Saya akan bangkitkan sekali lagi…cadangan untuk semakan terhadap pelaksanaan seni khat Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4.

“Perkara ini akan dibangkitkan dan tiada kaitan berkenaan sama ada seorang menteri berkata – atau pun tidak berkata – yang ramai menteri tidak setuju ia diperkenalkan di sekolah rendah Cina dan Tamil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy dalam wawancara bersama Bernama yang mendakwa kebanyakan anggota Kabinet tidak setuju dengan pengenalan tulisan khat Jawi itu.

Maszlee pada 3 Ogos lalu berkata, kerajaan memutuskan pelaksanaan tulisan khat Jawi akan dilaksanakan secara pilihan dengan juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya. -MalaysiaGazette