Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen DAP Kluang, Wong Shu Qi yang mendakwa orang Cina lebih faham jika menggunakan contoh pornografi adalah satu bentuk penghinaan kepada kaum tersebut.

“Adakah dia nak kata orang Cina suka pornografi? Ini juga satu penghinaan,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, Shu Qi boleh menggunakan banyak lagi contoh-contohnya seperti poster lama tayangan filem, produk makanan dan minuman atau seumpamanya.

Ka Siong berkata, beliau tidak merasakan orang Cina tidak faham jika menggunakan bahan lain untuk sesi penerangan.

“Apabila beliau jadikan pornografi sebagai contoh, ia secara tidak langsung telah mengguris hati ramai pihak khususnya orang Melayu dan beliau masih enggan memohon maaf!,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi akaun Facebooknya.

Ahli Parlimen DAP itu mengaku menggunakan contoh mengaitkan tulisan jawi dengan penerbitan buku pornografi dalam sebuah dialog dengan wakil 28 persatuan Cina di Kluang 9 Ogos yang lalu.

Shu Qi menjelaskan contoh yang digunakan itu bagi mengelak timbul kekeliruan mengenai keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan yang dianggap merupakan taktik pengislaman.

Ia susulan satu klip video selama 22 saat yang tersebar di media sosial menunjukkan Shu Qi bercakap dalam bahasa Cina sambil menayangkan beberapa gambar buku yang didakwanya sebagai buku lucah.

Artikel berkaitan:Melampau betul DAP beri contoh lucah untuk tulisan Jawi

Kaitkan Jawi dengan pornografi dan kitab kristian, DAP tak ikhlas

MP DAP mengaku guna slaid tulisan jawi untuk pornografi dan kitab kristian

“Dalam pembentangan tersebut, saya menggunakan tiga slaid untuk menjelaskan hujah tersebut melalui sejarah penggunaan tulisan Jawi, seperti berikut. Dalam slaid pertama, saya menerangkan bahawa tulisan Jawi adalah tulisan untuk bahasa Melayu sebelum tulisan Rumi diperkenalkan.

“Justeru, tulisan Jawi pernah digunakan untuk mengarang kitab agama Kristian pada abad ke-19.

“Slaid kedua pula memberikan contoh bahan-bahan bacaan lain yang menggunakan tulisan Jawi, termasuk bahan bacaan pornografi.

“Dalam slaid ketiga, saya telah menerangkan bahawa walaupun ada penganut agama Buddha yang menulis kaligrafi bahasa Cina bagi mempersembahkan manuskrip agama Buddha, namun, hampir tiada orang yang akan beranggapan bahawa kaligrafi Cina adalah untuk kegunaan agama Buddha sahaja,” katanya menerusi kenyataan.

Ka Siong turut menempelak Shu Qi yang mendakwa klip video berkenaan tersebar dirakam tanpa kebenaran tetapi pada masa sama memberitahu pemimpin NGO Cina di Kluang bahawa beliau sedar ada pihak yang membuat rakaman video tetapi tidak gentar kerana benar.

“Apa maksudnya? Kenapa buat pusingan U lagi selepas terbongkar rakaman video? Adakah pemimpin DAP mula bimbang selepas tersasul atau tersilap cakap sehingga menyinggung perasaan orang lain?,” soalnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.