Sebahagian ahli NGO yang hadir selepas Persatuan Perinnbam Malaysia dan beberapa lagi NGO membuat laporan polis terhadap Dr. Zakir Naik di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) India hari ini bertindak membuat laporan polis terhadap pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Sebanyak 16 NGO membuat laporan itu secara berperingkat mendesak agar kerajaan mengusir Dr Zakir Naik keluar dari negara ini.

Mereka berkata penceramah daripada India itu dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat India di negara ini.

Malah kata mereka, Dr Zakir Naik telah banyak menimbulkan hasutan di kalangan kaum di negara ini.

“Kami tidak membantah ceramah yang berunsur positif yang membantu dan menyalurkan nilai-nilai murni kepada rakyat Malaysia. Tapi kita bantah segala hasutan yang akan memusnahkan perpaduan rakyat di negara ini.

“Laporan ini bagi memastikan kerajaan mengambil tindakan terhadap Dr Zakir Naik kerana kita tahu kerajaan selalu menekankan unsur yang membawa kepada perpaduan negara,” kata Presiden Perinnbam Malaysia, Arivalagan Ponniyah.

MGF14082019_Perinnbam dan NGO Laporan Polis_09
Presiden Perinnbam Malaysia, Arivalagan Ponniyah bercakap kepada media selepas Persatuan Perinnbam Malaysia dan beberapa lagi NGO membuat laporan polis terhadap Dr. Zakir Naik di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2019

Sebanyak 12 laporan polis dibuat oleh NGO berkenaan dengan tiga daripada dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Kira-kira 50 daripada ahli-ahli NGO ini berjumpa di hadapan IPD Sentul sejak jam 12 tengahari tadi bagi mendesak polis mengambil tindakan terhadap Dr Zakir Naik.

MGF14082019_Perinnbam dan NGO Laporan Polis_03
Sebahagian ahli NGO yang hadir selepas Persatuan Perinnbam Malaysia dan beberapa lagi NGO membuat laporan polis terhadap Dr. Zakir Naik di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2019

Dalam perkembangan sama, Malaysia Advancement Parti (MAP) mahu Dr Zakir Naik dihalau daripada negara ini.

Menurut ahlinya, A. Maruthuvanan, Dr Zakir Naik perlu diekstradisi segera kerana beliau boleh menjadi ancaman kepada negara dan kesejahteraan kaum di negara ini.

“Kita tidak mahu orang seperti ini dalam negara kita yang membuat ancaman kepada kaum. Kita mahu hidup secara harmoni dan tenteram.

“Kami mahu dia dihalau daripada negara ini. Sesiapa yang membuat kenyataan rasis harus dihalau di negara ini,” katanya di hadapan IPD Sentul sebentar tadi.

Laporan polis itu dibuat setelah Dr Zakir dalam ceramahnya di Kelantan baru-baru ini didakwa telah membandingkan masyarakat Hindu di Malaysia yang dikatakan mendapat lebih banyak keistimewaan berbanding masyarakat Islam di India.

Penceramah itu juga mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya bahawa Dr Zakir tidak akan diusir keluar dari Malaysia di sebalik desakan daripada anggota jemaah menteri supaya pendakwah Islam kontroversial itu diekstradisi ke India.

Bagaimanapun, Putrajaya katanya mengalu-alukan jika ada mana-mana negara lain yang sanggup menerima Dr Zakir. -MalaysiaGazette