Khaled
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu bagi murid-murid Tahun 4 yang sifatkan sebagai Islamisasi oleh Dong Jiao Zong adalah bukti menunjukkan pertubuhan itu xenophobic, Islamofobik dan ‘Melayufobik’.

Punca kepada penentangan melulu tersebut hanya satu – prejudis dan kebencian yang menebal kepada Islam, Melayu dan warisan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kalau kita semak, selama berpuluh-puluh tahun, pendidikan Cina di negara ini dilaksanakan tanpa sebarang sekatan daripada kerajaan – dari bahasa pengantar, kurikulum, kaedah pengajaran dan segala-galanya, semuanya tiada elemen nasional dan kepentingan watan.

Walaupun semuanya adalah tentang pendidikan tetapi budaya, citra dan aspirasi yang tidak selari dengan kemajmukan Malaysia namun kerajaan tetap memberi muka.

Dana dan infrastruktur dari kerajaan juga bertambah saban tahun.

Malangnya, baru sahaja kerajaan ingin memperkenalkan setakat enam muka surat pendidikan seni khat tulisan jawi dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu, Dong Jiao Zong melatah, melompat dan dengan pantas melabelkan ikhtiar tersebut sebagai usaha Islamisasi yang sistematik.

Ternyata mereka tidak memahami apa itu Islamisasi, sebaliknya mereka hanya hidup dalam kepompong sendiri sehingga tiada secebis pun kefahaman tentang Islamisasi.

“Melabelkan pendidikan khat sebagai Islamisasi adalah kenyataan yang xenophobic, Islamofobik, malah ‘Melayufobik’,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam kenyataan itu, Khaled turut setuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Dong Jiao Zong adalah pertubuhan rasis adalah sangat tepat dan berasas.

“Jarang saya sehaluan pandangan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi kali ini saya bersetuju. Kenyataan beliau bahawa Dong Jiao Zong adalah pertubuhan rasis, sangat tepat dan berasas,” katanya sambil menambah inilah pandangan terpendam kebanyakan parti politik, pertubuhan, individu berpengaruh dan kebanyakan masyarakat Melayu.

Mengulas lanjut, Khaled mempersoalkan apakah sangat jelik untuk belajar tentang budaya dan tradisi bangsa lain sebanyak 6 lembar dalam tempoh 11 tahun tempoh sekolah kebangsaan.

Sedangkan, manfaat besar latihan tanpa peperiksaan tersebut mampu membenih kefahaman tentang kemajmukan Malaysia yang meraikan kepelbagaian.

Bekas Menteri Besar Johor itu menambah, selama wujudnya Dong Jioa Zong ini, pertubuhan itu tidak pernah memberi sumbangan mereka ke arah mengukuhkan pendidikan nasional, melain perjuangan pendidikan Cina dengan segala karakter kecinaannya, bukan bersumberkan aspirasi nasional.

Tidak pernah kita dengar sebarang kompromi, toleransi mahupun solusi kepada pendidikan nasional, yang ada, hanya kepentingan mereka yang langsung tidak boleh dibincangkan oleh bangsa lain.

Dong Jiao Zong juga mereka yang merasakan khat adalah sia-sia, ingatlah bahawa setiap ilmu itu, penting dan bernilai. Warisan negara tidak akan pernah hilang nilai dan kepentingannya.

Sedangkan Sarjana Oxford yang tersohor, Keith Thomas turut mengungkapkan “The position of non STEM (science, technology, engineering, maths) subjects is seriously threatened.”

“Ini mengingatkan saya kepada amaran sarjana terkemuka Salters Sterling yang menyedarkan kita bahawa, “Any government worth its salt must be every bit as concerned with the humanities as with technologies.”

“Fahamilah bahawa pendidikan bukan tentang melahirkan robot dan jutawan semata-mata. Ia misi melahirkan insan terbaik untuk masyarakat dan negara.

“Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya dikerah menghafal segala macam rumus dan fakta yang pelbagai tetapi sempit pemikiran dan kecil jiwanya. Kita ingin melahirkan manusia yang tidak hanya memikirkan markah dalam peperiksaan tetapi berani bermimpi mengejar pelangi,” katanya. – MalaysiaGazette