Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman bercakap kepada media semasa proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2019.

SEREMBAN – Sidang media hasil bedah siasat mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dijadual jam 5 petang ditunda ke pukul 8 malam ini berikutan proses bedah siasat masih belum selesai.

Lebih 60 pengamal media tempatan dan antarabangsa menantikan keputusan bedah siasat sejak pukul 3 petang lagi selepas proses autopsi itu dimulakan sekitar 11 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata ia berikutan pasukan patalogi belum menyelesaikan proses bedah siasat walaupun sudah enam jam berlalu.

“Bedah siasat dianggarkan dua jam lagi baru siap

“Jadi kita letakkan jangka masa 8 malam ini (sidang media),” katanya kepada pemberita sebagai mengemaskini status terkini proses bedah siasat mayat Nora.

Ditanya sama ada hasil awal laporan bedah siasat akan didedahkan kepada pemberita kelak, beliau bagaimanapun tidak memberi jaminan itu.

Turut kelihatan Komisioner Datuk Mohamad Mat Yusop yang memasuki kenderaan polis dan meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik selepas mendapatkan perkembangan terkini proses autopsi mayat remaja berusia 15 tahun itu.

Senior Patalogi Hospital Kuala Lumpur datang pukul 9.05 pagi tadi untuk mengetuai pasukan autopsi menjalankan bedah siasat ke atas mayat Nora.

Nora yang datang bercuti selama dua minggu bersama keluarganya pada 3 Ogos lalu ke Resort the Dusun Pantai Seremban sebelum dilaporkan hilang keesokan harinya.

Selepas pencarian selama 10 hari mayat Nora ditemui dalam keadaan tanpa pakaian kira kira 2.5 kilometer dari tempat penginapannya.

Kematian Nora menarik liputan media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul sejak 7 pagi lagi dihadapan Hospital berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terbaharu proses bedah siasat .-MalaysiaGazett