Rosli Husain. foto HAZROL ZAINAL, 13 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Hari ini masuk hari ke-53 perbicaraan penyewelengan RM42 juta SRC International yang mengaitkan penglibatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saksi ke-57, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain yang memberikan keterangan sejak Jumaat lepas mendedahkan beberapa maklumat penting berhubung penyiasatan kes ini oleh pihaknya sejak 2015.

Semalam, Rosli juga memberitahu pihaknya telah berjaya menjejak serta merakam perbualan perbualan dua individu penting kes ini iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, dan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di luar negara.

Jelas Rosli, Nik Faisal dan Jho Low berjaya ditemui pada 2015 di Jakarta, Indonesia, dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kata Rosli oleh kerana pihaknya telah berjaya merakam percakapan kedua-dua individu.

Tambahnya, pihaknya percaya Nik Faisal dan Jho Low akan kembali ke Malaysia untuk memberikan keterangan.

MGF13082019_NAJIB SRC09
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 OGOS 2019.

Dalam pada itu, Rosli juga mendedahkan notis merah yang dikeluarkan Interpol terhadap Jho Low, dan Nik Faisal masih lagi berkuatkuasa sehingga kini serta kedua-dua individu masih belum ditangkap.

Notis merah itu, yang dikeluarkan pada 11 Jun 2018 oleh Interpol melalui Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Bukit Aman merupakan satu notis amaran bagi usaha mencari dan menangkap individu yang dikehendaki untuk kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa.

Ini bertujuan mengekstradisi mereka bersama-sama dua individu lain iaitu Mohammed Redzuan Adamshah dan Toh Lian Seng.

Saksi SPRM itu mendedahkan satu e-mel daripada NCB Bukit Aman telah dihantar ke pihak NCB Hong Kong bagi memohon pihak berkuasa Hong Kong menahan Jho Low dan seorang lagi individu, Eric Tan Kim Loong yang dipercayai berada di Maggie & Rose Family Members Club di Repulse Bay.

Namun dakwa Rosli, pihak berkuasa Hong Kong tidak pernah menangkap mereka sehingga kini.

Malah Jho Low mahupun keluarganya atau induvidu lain tidak pernah pulang ke Malaysia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung sebentar lagi sekitar jam 9.15 pagi ini. –MalaysiaGazette