Charles Santiago. foto NOOREEZA HASHIM, 14 OGOS 2019.

PETALING JAYA – “Kita rakyat Malaysia, semua sama taraf. Tapi apa yang saya bangkitkan adalah cara untuk mengurangkan masalah di kalangan masyarakat.”

Begitu reaksi Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin yang secara sinis berkata: “Kalau boleh dapat pandangan dia, (bermakna) dia setaraf dengan saya.”

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya dakwaan Santiago bahawa beliau sebagai perdana menteri sering membuat keputusan bersendirian dan tidak berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan.

Menurut Santiago, kenyataan beliau sebelum ini merujuk kepada betapa perlunya untuk perdana menteri membawa sesuatu isu terutama yang bersifat kontroversi ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk dibincangkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet.

“Pada pandangan saya isu berkait kontroversi harus dibincang di Majlis Presiden Pakatan Harapan selepas dibincang sampai dapat penyelesaian baru isu itu dibawa kepada Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pencemaran Sungai dan Impak Terhadap Bekalan Air di Semenanjung Malaysia.

Ahli Parlimen DAP itu juga yakin pendiriannya itu akan turut disokong oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

“Saya fikir semua orang boleh terima pandangan itu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Santiago menerusi Facebooknya pada 12 Ogos yang lalu berkata Perdana Menteri tidak boleh berterusan buat keputusan bersendirian apatah lagi beliau mewakili parti minoriti dalam Pakatan Harapan. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Di masa depan apabila nak buat keputusan saya tanya Santiago, sinis Tun M