KUALA LUMPUR – Langsung tidak dapat di terima penghinaan yang dilontarkan oleh taikun perniagaan Koon Yew Yin yang sewenang-wenangnya memperlekehkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah tindakan pengasas IJM Corporation dan Gamuda Berhad yang sudah melangkui usia 80 tahun itu mengejutkan serta menyalahgunakan kebebasan bersuara dalam era Malaysia Baharu ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj meminta Yew Yin untuk segera memohon maaf bukan sahaja kepada semua anggota ATM dan yang telah bersara sebaliknya keseluruhan rakyat di negara ini kerana melabel golongan ini tidak lebih daripada ‘makan, tidur’ sahaja.

“Yew Yin, hentikan sikap kamu yang seolah-olah menyamakan anggota ATM ini seperti buruh murahan menggantikan pekerja asing sesuka hati kamu sahaja.

“Sedarkah kamu anggota keselamatan kita selama ini telah bergadai nyawa untuk menyelamatkan 30 juta rakyat di negara ini termasuk kamu sendiri? Memalukan betul kenyataan seperti ini dari mulut kamu.

“Kita mohon supaya anda segera tampil meminta maaf dan kesal dengan apa yang telah di ucapkan oleh kamu, jangan hanya sekadar memadamkan posting dan buat seolah-olah ianya tidak pernah terjadi. Hati sudah terguris.

“Mungkin niat sebenarnya berniat untuk bercakap tentang cadangan kerajaan mengurangkan jumlah penjawat awam tetapi tidak perlu hingga hina tentera,” katanya sebentar tadi.

Jelas Sharan lagi, adalah tidak salah Yew Yin mahu beri cadangan tetapi sepatutnya mengelak daripada menghina.

“Lebih-lebih lagi kepada anggota tentera yang telah bermandi peluh, menggadai nyawa dan masa, berjauhan daripada anak dan isteri demi negara.

“Patutnya beliau sedar negara aman tidak bermaksud anggota tentera hanya makan dan tidur sahaja mahupun anggota tentera hanya berlatih menembak papan sasaran sahaja.

“Sebaliknya lebih banyak peranan yang mungkin langsung tidak diketahui oleh Yew Yin itu sendiri,” tegasnya.

koon yew yin
Koon Yew Yin

Yew Yin dalam tulisan di laman blog kendaliannya menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan ATM sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Air Times melaporkan, Yew Yin mendakwa majoriti anggota tentera tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan untuk mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.

Kritikan Yew Yin tersebut menjadi tular dalam media sosial dan membangkitkan kemarahan banyak pihak termasuklah warga maya bagaimanapun telah dipadamkan malam tadi. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.