Tindakan penunjuk perasaan menggunakan troli menghalang urusan penumpang menyebabkan operasi Lapangan Terbang Hong Kong terjejas sejak Selasa lalu. foto Agensi

HONG KONG – Lapangan terbang Hong Kong telah beroperasi semula selepas berlaku huru-hara malam tadi selepas penunjuk perasaan bertembung dengan polis rusuhan.

Beratus-ratus penerbangan terpaksa dibatalkan pada hari Selasa selepas penunjuk perasaan membanjiri bangunan terminal lapangan terbang tersebut.

Penerbangan awal pada hari Rabu kelihatan berjalan seperti yang dijadualkan, walaupun ada pernerbangan yang masih ditunda atau dibatalkan.

Selepas berhari-hari terganggu, pengendali lapangan terbang itu telah mendapatkan injunksi sementara yang mengharamkan penunjuk perasaan daripada memasuki kawasan tertentu.

Dalam kenyataannya, pengendali itu berkata, penunjuk perasaan akan “dihalang daripada datang atau menyertai sebarang demonstrasi atau tunjuk perasaan … di lapangan terbang selain di kawasan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang”.

Kenyataan itu datang selepas genap 10 minggu tunjuk perasaan ke atas kerajaan.

Lapangan terbang Hong Kong adalah antara lapangan terbang tersibuk di dunia menjadi lokasi protes sejak Jumaat lalu.

Tetapi pada Selasa lalu, penunjuk perasaan bertindak menghalang penumpang daripada akses kepada pesawat, menjadikan troli bagasi sebagai penghalang dan duduk di kawasan terbuka. – MalaysiaGazette