KUALA LUMPUR – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sdn Bhd mensasarkan pertumbuhan 20 peratus dari tahun ke tahun dalam sektor e-dagang menjelang 2020 berbanding hanya 12.5 peratus pada 2017.

Menurut Pengarah e-dagang MDEC Song Hock Koon, beliau yakin sasaran itu boleh dicapai dengan campur tangan berterusan oleh kerajaan yang telah bermula sejak 2017.

Sebelum campur tangan kerajaan, sumbangan e-dagang dalam KDNK mencatatkan pertumbuhan hampir 11 peratus.

“Tetapi dengan kewujudan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan, kami berharap angka ini akan naik berganda pada 2020 memandangkan pelan ini akan membantu mereka mengurangkan kos.

“Selain itu, pengguna boleh juga mendapat manfaat dan menjimatkan wang melalui pelbagai promosi termasuk kempen yang dilaksanakan oleh platform e-dagang bagi menarik minat pembeli,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran 9.9 Super Shopping Day oleh Shopee di sini hari ini.

Beliau ketika mengulas mengenai acara jualan dalam talian #MYCYBERSALE yang telah memasuki tahun yang ke-enam, berkata Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) akan terus menganjurkan acara itu dengan penyertaan yang lebih tinggi daripada para peniaga dan pembeli.

“Tahun lepas, nilai dagangan kasar (GMV) yang diraih mencapai RM390 juta,” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka telah mensasarkan GMV yang lebih tinggi GMV serta penyertaan serantau dari negara-negara lain termasuk Thailand dan Taiwan. – MalaysiaGazette