Beberapa individu yang dipercayai pakar patalogi dari Hospital Kuala Lumpur tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2019.

SEREMBAN – Tiga individu dipercayai patalogi kanan Hospital Kuala Lumpur tiba tepat 9.05 pagi tadi di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda Hospital Kuala Lumpur sebelum masuk ke Jabatan Perubatan Forensik untuk menjalankan proses bedah siasat  ke atas mayat Nora Anne Quoirin.

Sekitar 9.28 pagi, kelihatan empat individu yang dipercayai terlibat dalam proses bedah siasat mayat Nora Anne juga memasuki Jabatan Perubatan Forensik itu.

MGF14082019_FORENSIK STJ07
Empat individu yang dipercayai terlibat dalam proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2019.

Lima minit sebelum itu seorang wanita dan lelaki dipercayai saudara terdekat Nora Anne memasuki Jabatan Perubatan Forensik tersebut.

Pada ketika ini lebih 30 pengamal media tempatan dan antarabangsa sedang berkumpul dan merakam segala gerak-geri dan aktiviti terkini yang berlaku di Jabatan Perubatan Forensik, dekat sini.

Setakat ini belum dipastikan berapa lama proses bedah siasat itu akan dijalankan.

Namun, keputusan bedah siasat itu dijangka diumumkan polis sejurus selepas semua proses tersebut selesai.

Media difahamkan sidang media keputusan patalogi akan dibuat, sama ada oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusof atau Timbalan Ketua Polis Negara, bergantung kepada keadaan dan hasil keputusan autopsi.

Ahli keluarga simati iaitu ibunya Maebh Jaseprin Quoirin dan bapanya Sebastian Marie Philipe dijangkakan turut serta semasa proses bedah siasat berlangsung kelak.

Semalam keluarga Nora hadir sekitar pukul 8.40 malam ke Jabatan Forensik berkenaan sebelum mengesahkan mayat wanita yang ditemui di kawasan hutan di Pantai, Seremban adalah Nora Anne yang hilang sejak 4 Ogos lalu.-MalaysiaGazette