Masalah pencemaran sungai telah lama dibincangkan namun tiada penyelesaian tuntas menyebabkan keadaan semakin buruk. - foto hiasan

PETALING JAYA – Isu pencemaran air telah menjadi perbincangan masyarakat sejak 30 tahun yang lalu.

Ia tidak berhadapan dengan perubahan positif bahkan menurut Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago semakin memburuk sehingga kini.

“Minggu lalu saya telah diundang United Nation mewakili Malaysia untuk bincang beberapa isu termasuk macam mana nak jaga sungai-sungai kita.

“Semasa saya bincang isu itu ada rakan di sana yang kerja di Bangkok sekarang rakyat Malaysia mengatakan kepada saya isu yang saya bangkit telah dibincang 30 tahun yang lalu.

“Perbincangan yang kita adakan sekarang berusia 30 tahun, masalah itu sama malah lebih teruk dari dulu. Jadi perkara ini kita perlu tangani dengan serius tidak boleh main-main dan bawa perubahan,” katanya.

Menurut beliau, masalah pencemaran air yang tidak berkesudahan dalam negara berisiko meningkatkan tarif air akibat perbelanjaan yang tinggi untuk merawat sungai.

Pada akhirnya kelak kata Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang, rakyat akan terbeban akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menjadi dalang pencemaran sungai.

“Walaupun puluhan juta telah dibelanjakan untuk memelihara sungai-sungai kita hakikatnya kesedaran umum masih amat rendah dan semakin banyak pula sungai dicemari.

“Saya jangka majoriti dari anda di sini maklum bahawa 98 peratus dari sumber air mentah yang diproses di loji rawatan air datangnya daripada air sungai.

“Sekiranya isu pencemaran sungai dibiarkan berleluasa, kos rawatan air sungai akan terus meningkat dan tarif air juga akan perlu dinaikkan dan hal ini memunyai implikasi langsung terhadap orang awam iaitu peningkatan kos berbelanja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar Pencemaran Sungai dan Impak Terhadap Bekalan Air di Semenanjung Malaysia.-MalaysiaGazette